Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Team Grafik Synergy Media : Syira
Kekufuran -> Keimanan -> Kekufuran
Ramai mungkin antara kita dahulunya adalah hamba yang penuh dengan dosa dan kemaksiatan, lalu Allah memberikan kita hidayah dan kebaikan sehingga kita meninggalkan dosa dan maksiat demi melakukan sebuah perubahan dan perbaikan di dalam diri. Namun, dalam menelusuri landasan kebaikan yang nampaknya sudah utuh mencengkam landasan tersebut, tidak sedikit juga yang mula melonglai dan akhirnya terbabas kembali ke landasan keburukan.
Perkara ini bukan rekaan, namun sebuah hakikat pembolakan hati akibat dari kesalahan insan-insan yang terleka. Seorang insan yang dahulunya ingin berhenti mencuri, namun mencuri semula akibat desakan kehidupan. Seorang insan yang ingin berhenti meminum arak, namun meminum semula akibat desakan dan cabaran teman kerosakan. Seorang insan yang ingin berhenti menerima rasuah dan menipu semata, namun kembali melakukannya akibat lemahnya iman di dada.
Sedihnya, bukan hanya insan biasa terjangkit dengan penyakit ini, namun juga kepada insan-insan bergelar pendakwah dan pejuang kebenaran. Seorang pendakwah yang pada dahulunya memberikan tazkirah mengenai haramnya berkhalwat lelaki dan wanita, namun sekarang begitu aktif berjalan berpegangan tangan dengan kekasih haramnya. Seorang pendakwah yang begitu banyak berkorban harta menghidupkan dakwah, namun kini hanya seronok mengorbankan dakwah demi mencari harta sebanyaknya. Seorang pendakwah yang dahulunya sering menjaga mutabaah ibadah dengan penuh saksama, namun kini hanya sibuk bermain game, menonton wayang dan berhibur semata. Akhirnya, ada juga pendakwah yang sangat menjaga dirinya ('Iffah) dari dosa kemaksiatan, namun kini dia yang membuka dirinya menghampiri pintu kemaksiatan.
"Sesungguhnya orang-orang kafir sesudah beriman, kemudian bertambah kekafirannya, sekali-kali
tidak akan diterima taubatnya; dan mereka itulah orang-orang yang sesat." [QS al-Imran, 3:90]
Mari tanyakan pada diri. Adakah perkara ni pernah berlaku kepada kita? Pernah kembali kepada tabiat jahiliyah kita yang lama? Pernah terasa ingin makin jauh dengan kebaikan dan memuaskan nafsu kejahatan? Pernah terasa ingin meninggalkan dakwah dan ingin hidup dalam keselesaan & keseronokan? Pernah terasa lelah menjaga keimanan dan ingin menuruti hubbu syahawat? Pernah terasa lelah melakukan pengorbanan dan ingin berhenti dari perjuangan? Persoalan yang perlu ditanya kepada diri kita, mengapa perkara ini boleh berlaku?
Setiap Persoalan Ada Jawapannya
Setiap persoalan ada jawapannya, dan jika manusia tidak tahu apa jawapan terhadap sebuah persoalan, yakinlah Allah ada jawapan terhadap segala persoalan. Maka, jika kita tidak mengetahui jawapan terhadap permasalahan kita, maka Allah-lah tempat kita memohon pertolongan agar memberikan jawapan kepada kita, bukan meminta jawapan daripada sumber-sumber yang bahkan mengkeruhkan lagi permasalahan kita.
Berbalik kepada sebuah persoalan yang mungkin pernah menerjah dalam kehidupan kita, mengapa perubahan 180 darjah mampu berlaku kepada kita? Kesempatan kali ini kita fokuskan punca-punca dari diri sendiri atau faktor internal bagi perbaikan diri. Namun, suatu benda yang jadi pegangan kita bersama adalah perihal hidayah milik Allah, dan pembolakan hati seperti sehelai bulu yang ringan itu semua dalam kekuasan Allah yang Maha Mengkehendaki. Tugas kita adalah usaha sebaik mungkin untuk mencari, mengekalkan dan mensyukuri nikmat hidayah yang dikurniakan kepada kita.
Team Grafik Synergy Media : Freshie
Antara punca yang utama adalah ketika diri dan hati kita sudah kurang sensitivit terhadap turunnya keimanan kita, tidak merasa bersalah ketika ada ibadah yang kita tinggalkan dan merasa biasa melakukan kemaksiatan. Maka, kita perlu tingkatkan sensitiviti graf keimanan kita hatta sekecil apa pun poin yang menurunkan garisan graf keimanan kita. Cukuplah sikap kita yang memandang enteng perihal perkara ini, kita patut merasa malu dan bersalah kepada Allah ketika meninggalkan tahajjud kita, terlajak subuh kita, kurang bacaan quran kita, tidak berzikir pagi dan petang dan amalan-amalan lainnya.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu ta’ala menyebutkan bahwa Abu Darda’ pernah mengatakan:
“Sungguh termasuk bentuk kecerdikan seorang hamba ialah tatkala ia senantiasa setia memupuk iman dan memperhatikan bagaimana ia bisa berkurang, dan tatkala ia selalu memperhatikan apakah imannya saat ini bertambah atau justru berkurang.."
Perkara lainnya yang membantutkan keimanan kita adalah kita sudah mula berjinak-jinak dengan kelalaian. Bermula dengan kelalaian yang dianggap ringan, sehingga ia makin meningkat level kelalaian tersebut sehingga terjun ke pusingan kemaksiatan. Dosa kecil lebih perlu kita takuti kerana ia terlalu halus untuk kita sedari berbanding dosa besar yang jelas sekali untuk kita elak ke tepi. Memang terkadang kita perlu mencari-cari sumber untuk kita berehat sementara dalam kehidupan ini, tapi ambillah sumber kebaikan sebagai kaedah rehat kita bersama. Samada belajar, bersukan, membaca al-Quran, membaca buku, ziarah -menziarahi, dan banyak lagi, berbanding mencari hiburan-hiburan yang merosakkan hati. Asy-Syeikh Muhammad al-Utsaimin rahimahullahu ta’ala mengatakan:
“Dan iman itu bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.”
Heterogenous @ Homogenous
Kesalahan lain yang perlu diri sendiri ambil peduli adalah ketika mencari teman-teman atau orang-orang yang bukan membimbing ke jalan kebaikan, tapi mengherat ke lorong kerosakan. Bukan kita melarang untuk kita bergaul dengan teman-teman yang merosakkan, tapi jangan sampai kita tercampur sekali dengan mereka. Bergaul dan Bercampur adalah berbeza. Tiada salah kita bergaul untuk tujuan perlahan-perlahan menyedarkan mereka, tapi jangan tercampur sekali dengan kerosakan mereka.
“Seorang itu berada di atas agama kekasihnya (teman dekatnya), maka hendaknya salah seorang kalian melihat siapa yang menjadi kekasihnya.”[HR Tirmidzi]
Contoh dalam aspek kimia, ketika dua bahan ingin digabungkan, ada yang dinamakan heterogenous dan ada yang dinamakan homogenous. Heterogenous adalah bahan tersebut tergaul tapi masing-masing bahan masih dengan identiti sendiri, namun jika homogenous, bahan tersebut tergaul dan tercampur sehingga menghasilkan sebuah identiti yang baru hasil gabungan kedua-dua bahan tadi. Maka, bergaul dengan orang yang rosak, "heterogenous"kanlah pergaulan dengan mereka, melainkan kita mampu membuat mereka homogenous dengan sikap kebaikan kita, dan bukan kita yang terhomogenous dengan sikap mereka.
Gambar Hiasan
Beberapa perkara yang lain adalah lemahnya semangat dan motivasi kita untuk kekal dalam jalan kebaikan. Terlalu mudah mengalah dengan ajakan nafsu dan syaitan, dan terlalu melayan perasaan tanpa berfikir dengan lebih jauh kehadapan terhadap sesuatu pemilihan yang kita lakukan. Ketika kita merasa lemah, jangan dilayan sangat perasaan tersebut, motivasikan kembali diri kita, cari semula sumber kekuatan kita, untuk perlahan-lahan kita bertatih melakukan sebuah kebangkitan.
Berbalik Kepada Cinta
Punca paling utama dan penawar paling utama yang ingin saya tekankan pada perkongsian kali ini adalah "Berbalik Kepada Cinta". Sepertimana pasangan kekasih yang sedang bercinta, pasti kita tidak sanggup menyakiti hati pasangan kita, bahkan akan berkorban apa sahaja bagi memenuhi permintaan kekasih kita. Terdapat juga kes dimana seseorang telah banyak memberikan kasih sayang, hadiah, perhatian dan sebagainya, namun kekasihnya membalas perkara yang bukan hanya tidak setimpal bahkan menyakiti lagi hatinya.
Team Grafik Synergy Media : Syira
Begitu juga perihal cinta kita kepada Pencipta, Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Kita mengatakan cinta kepada Allah, namun betapa sering kita menyakiti Allah dengan melanggar apa yang dilarang oleh-Nya, bahkan mengabaikan segala perintah Allah kepada kita. Kata cinta kepada Allah, tapi masih melakukan kemaksiatan yang dilarang, masih bermalas-malasan melaksanakan perintah Allah dan bagi para pendakwah mengapa masih ragu-ragu dan beralasan dalam membantu agama Allah. Itu bukan bukti cinta kepada Allah!!! Begitu juga setelah nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kepada kita, tapi tergamaknya kita bukan setakat tidak mengucapkan terima kasih, bahkan menambahkan kekufuran lagi kepada-Nya.
Ayuh muhasabah kembali cinta kita kepada Allah, adakah cinta kita selama ini adalah cinta yang palsu semata, cinta yang sebenarnya kita letakkan di tangga jauh ke bawah, cinta yang dimekapkan ketika ada orang lain melihatnya, atau kita ingin tingkatkan dan tinggikan kembali cinta kita kepada Allah melebihi segalanya. Jangan lagi mengorbankan cinta kita kepada Allah demi cinta pada nafsu dan syaitan, tapi mari korbankan cinta kepada nafsu dan syaitan demi cinta kita kepada Allah semata. Mari kita meletakkan cinta kepada Allah yang paling utama, dan tiada lagi cinta yang mampu mengalahkan dan mengganggu cinta kepada-Nya, tiada lagi yang menghalang kita melaksanakan perintahnya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin Ya Muqallibal Qulub, tsabbit qulubana 'ala dinik, wa'ala tho'atik.
Team Grafik Synergy Media : Zulan
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Kelahiran Mus'ab Bin Umair
Kita pasti mengenali salah seorang sahabat yang dijamin masuk ke dalam syurga, Mus'ab Bin Umair r.a. Namun, kelahiran yang saya maksudkan pada perkongsian kali ini bukan dirujuk kepada sahabat tersebut, tapi buat anak seorang ikhwah & akhawat seperjuangan yang bernama Ahmad Umair & pasangannya Ukht Atifah yang baru menimang cahaya mata dan nama anak yang diberikan adalah Ahmad Mus'ab Bin Ahmad Umair.
Semoga Adik Ahmad Mus'ab Bin Ahmad Umair merupakan Mus'ab Bin Umair r.a. pada zaman ini yang sanggup berkorban demi menguatkan bangunan Islam dan mengembalikan kegemilangan umat Islam. Istimewa buat Akhi Ahmad Umair Bin Zulkefli, semoga dengan nikmat cahaya mata ini disyukuri dengan berbuat lebih gencar dan ikhlas lagi membantu agama Allah Pemberi Rezeki. Barakallahulakuma..
Mengenang Saat Kelahiran
Ketika kita dilahirkan, kita menangis dan orang sekeliling ketawa gembira menyambut kita, namun ingatlah, ketika kita dimatikan, orang sekeliling pula yang akan menangis dan semoga kita ketawa gembira dengan amalan kita. Saban tahun berlalu, sehingga kita semua menjejak remaja, lalu melangkah dewasa, kemudian bertongkat tua, dan akhirnya ke alam seterusnya. Inilah putaran kehidupan kita jika diizinkan melalui kesemua fasa kerana kematian bukan kita tetapkan.
Saya yakin kita pernah melalui dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja kemudian dari zaman dewasa ke usia tua, tapi mengapa kita tidak yakin bahawa kita juga mampu melalui dari usia tua ke alam seterusnya? Sehinggakan kita masih sanggup mempersiakan waktu yang diberikan kepada kita dengan perkara-perkara yang bakal merosakkan bukan hanya di dunia tapi juga di alam seterusnya.
Plot-plot penceritaan kehidupan kita selama ini mungkin dipenuhi dengan kisah-kisah kemusnahan diri dan orang lain, maka mari kita coretkan plot-plot kehidupan dengan kisah-kisah perbaikan diri dan orang lain. Mari kita bersama perbaiki kehidupan kita yang telah lama tertidur mati dengan mimpi dunia. Bangkitlah dari tidur dan kejutkanlah juga keluarga dan umat semuanya agar kita dan mereka sedar hakikat kehidupan dunia yang hanya sementara.
Warga Emas = Generasi Muda
Kesempatan berkongsi di
Radio IKIM pada minggu lepas ada saya kongsikan perihal warga emas sebenar bukan warga tua, namun generasi muda yang sebenarnya warga emas yang amat bernilai. Sehinggakan Rasulullah SAW mengingatkan kita agar memanfaatkan masa muda sebelum datangnya waktu tua kita (HR Hakim).
Namun, generasi muda zaman sekarang sudah tidak semahal dan sestabil harga emas yang sebenar. Generasi muda zaman sekarang terlalu murah sehingga terlalu mudah dibeli oleh maksiat, nafsu dan syaitan. Bangga dengan kerosakan dan maksiat yang mereka lakukan, disokong dan didokong lagi dengan teman-teman seperjuangan yang bergerak seiringan. Walaupun pada pandangan nafsu dan syaitan golongan murah ini terasa mereka nampak indah dan mahal kerana dapat melakukan perkara-perkara yang tidak semua remaja zaman sekarang mampu lakukan.
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang indah (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, [QS al-Hijr, 15:39]
Wahai generasi muda yang saya yakin tidak semua mengikut arus perdana ke arah trend remaja yang merosakkan, mari kita kuatkan kembali potensi generasi muda yang dinanti-nanti oleh umat kita setelah majoriti generasi muda telah dibantutkan potensinya, maka kitalah yang diberi izin oleh Allah menyedari hakikat ini untuk kita lakukan sebuah perbaikan pada umat akhir zaman ini. Mulakan dengan menggilap lagi kualiti emas dalam diri, lalu kita gilapkan kembali karat-karat yang melekat pada jongkong emas generasi muda zaman ini.
Semoga kita semua menjadi pemuda & pemudi yang bakal membawa perubahan yang melawan arus yang mengalirkan kerosakan dan kemaksiatan, kita yang bakal membelah arus itu dengan wangian tarbiyyah dan dakwah, yang bakal mengubah arus kepada aliran kebaikan, mari kita mulakan dengan meninggalkan perkara-perkara dosa dan maksiat yang kita lakukan, ingat kembali kepada Allah, lalu teruslah beramal memohon keampunan dan rahmat darinya. Sedarlah, bahawa kita (Generasi Muda) adalah modal harapan yang bakal mengembalikan kegemilangan Islam. Amin Ya 'Aziz.
Pemuda & pemudi adalah asset berharga kebangkitan bangsa. Setiap kebangkitan bangsa, jawapannya adalah pemuda.[Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna]
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Bisnes Asli : SaBaHaNmUsLiM
~ Antara Design Baru Darul Iman ~
Mari Bersama Melahirkan Generasi Qurani
1 Muslim 1 Al-Quran
!!!Ayuh buat tempahan A.S.A.P.!!!
Terima kasih kepada yang sudi membantu menyebarkan info penjualan al-Quran kepada keluarga dan rakan kita semua..^.^..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Assalamu'alaikum wbt, segala puji bagi Allah, selawat serta salam cinta dan rindu buat junjungan mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Semoga kita selaku umat baginda mencintai dan meneladani sebaik-baik ikutan, Rasulullah SAW.
InsyaAllah, saya mengucapkan syukran jazakumullahu khoiron katsira kepada semua yang sudi mendengar perkongsian saya yang sederhana pada waktu semalam dalam slot remaja di bawah tajuk "Remaja & Rasulullah" atau "R&R".Saya mohon maaf di atas kekurangan dari pihak saya kepada semua sidang pendengar serta mohon maaf sekali lagi kerana tidak sempat menjawab semua soalan yang diajukan.
Majalah SINERGI Edisi Ke-4
(Mengetengahkan Mengenai Rasulullah SAW)
Akhir, syukran juga kepada pihak Radio IKIM.FM yang sudi menjemput lagi saya berkongsi sedikit ilmu kepada golongan remaja. Tidak lupa juga kepada Neo Synergy Training Centre dan Synergy Media Sdn Bhd yang menyokong dan mendokong usaha-usaha mengembalikan kegemilangan umat Islam.
Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan mendengarkan perkongsian semalam, insyaAllah di sini saya kongsikan rakaman yang dikongsikan oleh salah seorang pendengar slot semalam. Terima kasih kepada yang sudi merakam dan berkongsi kepada kita semua. Silakan download dan bantu kongsi dan sebarkan.